Saturday 20 July 2013

Keburukan Penerokaan Hutan

          Isu-isu yang barkaitan dengan penerokaan hutan kerap menjadi bahan paparan dalam surat khabar dan televisyen. Hal ini kerana didapati banyak aktiviti penerokaan hutan dibuat secara tidak terancang. Pada pendapat saya, isu penerokaan hutan ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyaakat. Penerokaan hutan yang tidak terancang ini telah mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap alam sekitar.

          Penerokaan hutan secara tidak terancang telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Tanah yang runtuh ini boleh merosakkan harta benda dan membahayakan nyawa orang ramai. Terdapat beberapa kes kejadian tanah runtuh yang berlaku di lebuh raya dan menyebabkan kesusahan kepada pengguna lebuh raya. Selain itu, perbelanjaan yang banyak perlu dikeluarkan oleh pihak kerajaan untuk memperbaiki keadaan tanah yang runtuh tersebut.

          Penerokaan hutan yang tidak terkawal juga boleh mengganggu kehidupan haiwan yang tinggal di kawasan tersebut. Haiwan yang terganggu ini akan keluar ke tempat lain dan kadang-kadang memasuki kawasan perkampungan atau petempatan. Antara haiwan yang sering mengamuk kerana tempat tinggal mereka terganggu ialah gajah. Terdapat juga kes harimau bertindak liar memasuki kampung lalu menyebabkan kecederaan kepada penduduk kampung.

          Di samping itu, penerokaan hutan secara tidak terkawal juga boleh menyebabkan perubahan cuaca. Lazimnya di kawasan yang tiada lagi pokok atau hutan, cuaca di situ akan menjadi panas dan terik. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk apabila musim kemarau tiba. Selain itu, ketiadaan tanah pula akan menjadi kering serta merekah dan ia tidak sesuai lagi untuk aktiviti pertanian.

          Penerokaan hutan secara tidak terkawal juga akan menyebabkan kawasan tadahan hujan akan terganggu. Empangan untuk menakung air akan menjadi cetek dan kering pada jangka masa panjang. Apabila takungan air kering, air yang mencukupi tidak dapat dibekalkan kepada orang ramai dan catuan air terpaksa dibuat. Keadaan ini pastinya akan menyebabkan kesusahan kepada rakyat.

          Sebagai kesimpulan, penerokaan hutan secara tidak terkawal boleh mendatangkan pelbagai keburukan kepada manusia, haiwan dan alam sekitar. Pihak berkuasa perlu membuat kajian terperinci sebelum meneroka sesuatu kawasan hutan. Pada pendapat saya pihak kerajaan mesti mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak yang membuat penerokaan hutan secara haram. Sesungguhnya hutan adalah anugerah Tuhan kepada manusia dan ia mesti dijaga dengan sebaik mungkit.

Click di sini untuk download : Download

19 comments: