Sunday 21 July 2013

Amalan Berjimat Cermat

          Hal-hal yang berkaitan dengan amalan berjimat cermat sering dibincangkan dalam media massa seperti surat khabar dan televisyen. Amalan berjimat cermat memberi banyak kebaikan individu dan negara. Pada pendapar saya, sikap berjimat cermat ini wajar diamalkan oleh masyarakat pada setiap masa. Sikap berjimat cermat boleh diamalkan dalam kehidupan seharian dengan pelbagai cara.

          Setiap individu hendaklah menjimatkan penggunaan masa mereka. Masa yang dimiliki amat berharga seperti peribahasa Melayu 'Masa itu emas'. Oleh itu, kita perlu memenuhi masa kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku pelajaran, bekerja dan bersenam. Lazimnya, orang yang pandai menggunakan masa yang dimiliki akan berjaya dalam hidup dan dapat mencapai cita-cita yang diidamkan.

          Selain menjimatkan penggunaan masa, kita juga mesti berjimat dalam penggunaan wang. Wang yang kita perolehi perlu dibelanjakan dengan sebaik mungkin. Kita perlu membeli barang keperluan asas terlebih dahulu seperti makanan, pakaian dan membeli rumah sebagai tempat tinggal, sebelum membeli barangan kehendak yang lain. Kita juga sewajarnya menyimpan sebahagian wang yang diperolehi di dalam bank untuk digunakan sewaktu dalam kesusahan atau kecemasan.

          Air merupakan satu keperluan hidup dan kita juga perlu menjimatkan air dalam kehidupan seharian. Pembaziran air akan menyebabkan kita terpaksa membayar bil air yang tinggi dan akan menambahkan beban perbelanjaan kita. Bagi menjimatkan penggunaan air, kita boleh membasuh kereta atau menyiram pokok menggunakan air hujan. Selain itu, jika kita ternampak paip yang pecah, kita hendaklah segera melaporkan kejadian ini kepada pihak yang menguruskan bekalan air.

          Di samping itu, kita juga hendaklah berjimat cermat dalam penggunaan elektrik. Dengan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, kita akan membantu pihak kerajaan menjimatkan kos membekalkan elektrik. Oleh itu, kita hendaklah menutup suis lampu dan kipas jika ia tidak digunakan. Kita juga perlu menggunakan barangan elektrik yang kurang menggunakan tenaga elektrik seperti mentol lampu yang menjimatkan tenaga yang kini banyak dijual di pasaran.

          Kita juga mesti berjimat cermat dalam penggunaan telefon. Ketika bercakap di telefon, kita perlu bercakap perkara-perkara yang penting sahaja. Walaupun penggunaan telefon bimbit merupakan gaya hidup masa kini, namun kita mestilah sentiasa berjimat cermat menggunakannya. Justeru, ibu bapa wajar mengawasi anak-anak mereka dalam penggunaan telefon kerana bil telefon boleh meningkat sehingga ratusan ringgit sebulan jika anak-anak tidak berjimat cermat dan ia pastinya akan menyusahkan ibu bapa.

          Sebagai kesimpulan, kita perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian kerana amalan ini banyak faedahnya. Pada pendapat saya amaln berjimat cermat perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Pihak kerajaan juga perlu mengadakan kempen berjimat cermat di kalang rakyat. Kempen ini hendaklah diadakan sepanjang tahun supaya sikap berjimat cermat menjadi budaya hidup masyarakat Malaysia.

Click di sini untuk download : Download

Saturday 20 July 2013

Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa

          Isu-isu yang berkaitan dengan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa kerap dibincangkan dalam majalah dan surat khabar. Hal ini kerana jasa ibu bapa terhadap anak-anak amat banyak dan anak-anak wajar membalas jasa ibu bapa. Pada pandangan saya, anak-anak tidak wajar melupakan jasa ibu bapa dengan menghantar ibu bapa ke rumah orang tua apabila mereka telah tua. Terdapat beberapa tanggungkawab yang perlu dilakukan oleh anak-anak untuk membalas jasa ibu bapa.

          Antara tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa ialah memberikan kasih sayang kepada ibu bapa. Anak-anak boleh menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa melalui pelakuan dan pemberian hadiah. Anak-anak boleh memberikan hadiah kepada ibu bapa semasa ulang tahun perkahwinan dan ulang tahun kelahiran mereka. Kasih sayang kepada ibu bapa juga boleh ditunjukkan melalui pelukan dan sentuhan tangan.

          Selain itu, anak-anak juga perlu memberikan wang kepada ibu bapa setelah mereka bekerja. Wang yang diberi kepada ibu bapa membolehkan ibu bapa menyara kehidupan mereka. Ibu bapa juga boleh menggunakan wang pemberian anak-anak itu untuk tabungan hari tua mereka Selain itu, anak-anak juga mesti memastikan tempat tinggal ibu bapa adalah selesa dan sempurna untuk mereka diami.

          Anak-anak juga mesti menjaga keselamatan ibu bapa pada setiap masa. Jika anak-anak tidak tinggal bersama dengan ibu bapa, pastikan keselamatan ibu bapa sentiasa terjamin dengan mencari pembantu rumah untuk menjaga mereka. Anak-anak juga wajar menasihati ibu bapa agar sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya. Jika perlu, ajaklah ibu bapa tinggal bersama-sama agar keselamatan dan keperluan mereka terjamin.

          Di samping itu, anak-anak juga perlu memastikan kesihatan ibu bapa dalam keadaan yang baik. Jika ibu bapa sakit, hantarlah mereka ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan. Anak-anak juga hendaklah menanggung segala kos rawatan ibu bapa. Selain itu, anak-anak boleh mengambil insurans kesihatan untuk ibu bapa kerana banyak faedahnya.

          Anak-anak yang bertanggungjawab akan menziarahi ibu bapa yang tinggal berjauhan daripada mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali. Mereka wajib pulang ke rumah ibu bapa semasa menyambut hari perayaan agama seperti hari raya untuk bersama-sama ibu bapa menyambut hari penting tersebut. Selain itu, anak-anak juga boleh membawa ibu bapa menziarahi ahli keluarga yang lain. Jika ada peruntukan kewangan yang lebih, bawalah ibu bapa pergi melancong ke tempat-tempat yang menarik sama ada di dalam atau di luar negara.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa. Tanggungjawab anak-anak ini wajar dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Pada pendapat saya, anak-anak mesti mengelakkan diri daripada melukakan hati ibu bapa terutama apabila mereka telah tua. Jika anak-anak dapat menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapa dengan baik, pasti kehidupan anak-anak juga akan bertambah baik dan bahagia.

Click di sini untuk download : Download

Sikap Anak Cemerlang

         Isu-isu yang berkaitan dengan anak-anak kerap menjadi bahan paparan surat khabar dan majalah. Hal ini kerana anak-anak adalah ahli keluarga yang penting dalam pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Pada pandangan saya, hal-hal yang berkaitan dengan anak-anak perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh ibu bapa. Terdapat beberapa sikap yang perlu diamalkan oleh anak-anak dalam kehidupan seharian untuk menjadi anak yang cemerlang.

          Antara sikap anak yang cemerlang ialah menyayangi keluarga pada setiap masa. Anak-anak boleh menunjukkan sikap menyayangi keluarga dengan perbuatan seperti memeluk dan mencium pipi ibu bapa. Selain itu, anak-anak juga mestilah menyayangi keluarga terdekat seperti datuk, nenek, ibu saudara dan bapa saudara. Kehidupan anak-anak akan lebih tenteram dan bahagia jika mereka menyayangi ahli keluarga mereka.

          Selain itu, anak-anak juga mestilah menghormati ibu bapa. Sikap menghormati ibu bapa ini boleh ditunjukkan melalui tingkah laku mendengar dan mengikuti nasihat ibu bapa. Jika anak-anak dimarahi ibu bapa kerana melakukan kesalahan, anak-anak mesti berfikiran positif dan memohon maaf di atas kesalahan yang telah dilakukan. Anak-anak juga perlu menghormati adik-beradik dan saudara-mara yang lain.

          Anak-anak yang cemerlang juga akan mengamalkan sikap rajin. Sikap rajin ini bukan sahaja perlu dilakukan di rumah, malahan juga di sekolah. Ketika berada di rumah, anak-anak perlu rajin membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rutin harian seperti membasuh baju, membasuh pinggan-mangkuk dan menyapu sampah. Ketika di sekolah pula, anak-anak akan rajin membaca buku dan membuat latihan yang diberi oleh guru.

          Di samping itu, anak-anak yang cemerlang juga akan bercita-cita untuk membalas jasa ibu bapa mereka. Hal ini kerana mereka menyedari betapa besarnya jasa ibu bapa terhadap mereka sejak kecil seperti menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang baik untuk mereka. Oleh itu, setelah mereka bekerja, anak cemerlang perlu memberikan sejumlah wang gaji mereka kepada ibu bapa sebagai cara menghargai jasa ibu bapa mereka. Anak-anak juga perlu mengambil berat tentang kesihatan ibu bapa dan menghantar ibu bapa ke klinik apabila mereka sakit.

          Sesungguhnya, anak-anak yang cemerlang juga mempunyai disiplin diri yang tinggi. Mereka akan menggunakan masa yang ada dengan melakukan aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan membantu keluarga. Anak-anak yang cemerlang juga tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial. Selain itu, anak-anak yang cemerlang juga akan taat kepada perintah agama dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

          Sebagai kesimpulan, anak-anak yang cemerlang mempunyai banyak sikap yang baik. Lazimnya, anak yang cemerlang akan dapat membahagiakan diri sendiri dan ibu bapa. Pada pandangan saya, ibu bapa perlu memberikan pendidikan yang baik agar anak mereka menjadi anak yang cemerlang. Sesungguhnya usaha melahirkan anak yang cemerlang memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Click di sini untuk download : Download

Keburukan Penerokaan Hutan

          Isu-isu yang barkaitan dengan penerokaan hutan kerap menjadi bahan paparan dalam surat khabar dan televisyen. Hal ini kerana didapati banyak aktiviti penerokaan hutan dibuat secara tidak terancang. Pada pendapat saya, isu penerokaan hutan ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyaakat. Penerokaan hutan yang tidak terancang ini telah mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap alam sekitar.

          Penerokaan hutan secara tidak terancang telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Tanah yang runtuh ini boleh merosakkan harta benda dan membahayakan nyawa orang ramai. Terdapat beberapa kes kejadian tanah runtuh yang berlaku di lebuh raya dan menyebabkan kesusahan kepada pengguna lebuh raya. Selain itu, perbelanjaan yang banyak perlu dikeluarkan oleh pihak kerajaan untuk memperbaiki keadaan tanah yang runtuh tersebut.

          Penerokaan hutan yang tidak terkawal juga boleh mengganggu kehidupan haiwan yang tinggal di kawasan tersebut. Haiwan yang terganggu ini akan keluar ke tempat lain dan kadang-kadang memasuki kawasan perkampungan atau petempatan. Antara haiwan yang sering mengamuk kerana tempat tinggal mereka terganggu ialah gajah. Terdapat juga kes harimau bertindak liar memasuki kampung lalu menyebabkan kecederaan kepada penduduk kampung.

          Di samping itu, penerokaan hutan secara tidak terkawal juga boleh menyebabkan perubahan cuaca. Lazimnya di kawasan yang tiada lagi pokok atau hutan, cuaca di situ akan menjadi panas dan terik. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk apabila musim kemarau tiba. Selain itu, ketiadaan tanah pula akan menjadi kering serta merekah dan ia tidak sesuai lagi untuk aktiviti pertanian.

          Penerokaan hutan secara tidak terkawal juga akan menyebabkan kawasan tadahan hujan akan terganggu. Empangan untuk menakung air akan menjadi cetek dan kering pada jangka masa panjang. Apabila takungan air kering, air yang mencukupi tidak dapat dibekalkan kepada orang ramai dan catuan air terpaksa dibuat. Keadaan ini pastinya akan menyebabkan kesusahan kepada rakyat.

          Sebagai kesimpulan, penerokaan hutan secara tidak terkawal boleh mendatangkan pelbagai keburukan kepada manusia, haiwan dan alam sekitar. Pihak berkuasa perlu membuat kajian terperinci sebelum meneroka sesuatu kawasan hutan. Pada pendapat saya pihak kerajaan mesti mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak yang membuat penerokaan hutan secara haram. Sesungguhnya hutan adalah anugerah Tuhan kepada manusia dan ia mesti dijaga dengan sebaik mungkit.

Click di sini untuk download : Download

Cara-Cara Menjaga Kebersihan Alam Sekitar

          Isu-isu berkaitan dengan alam sekitar kerap menjadi bahan paparan dalam surat khabar. Hal ini kerana alam sekitar di negara kita didapati semakin tercemar. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

          Pihak yang boleh memainkan peranan utama dalam menjaga kebersihan alam sekitar ialah setiap individu atau rakyat di negara ini. Setiap individu atau rakyat mestilah mempunyai kesedaran tentang kepentingan alam sekitar. Contohnya kita mesti bertindak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar jika ternampak pihak tertentu mencemarkan alam sekitar. Sesungguhnya alam sekitar yang bersih dan ceria akan membolehkan rakyat hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.

          Selain individu, pihak masyarakat juga boleh memainkan peranan penting. Masyarakat mestilah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai murni yang perlu diamalkan ialah nilai cintakan kebersihan sungai dan laut. Masyarakat juga mesti mengelakkan diri daripada melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan alam sekitar terutama pada musim panas.

          Pihak pengusaha industri atau kilang juga boleh memainkan peranan dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Pengusaha industri atau kilang mestilah memastikan bahan buangan tidak dibuang ke dalam sungai atau laut. Bahan-bahan buangan kilang mestilah dihantar ke tempat yang dikhaskan oleh pihak kerajaan. Selain itu, jika kilang mereka mengeluarkan asap, asap tersebut mestilah dirawat terlebih dahulu bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

          Di samping itu, pengusaha pertanian juga boleh memainkan peranan yang penting. Pengusaha pertanian tidak boleh mengambil jalan mudah dengan membakar hutan untuk membuka kawasan pertanian yang baru. Bahan kimia seperti baja dan racun serangga yang digunakan pula hendaklah sentiasa dipantau supaya tidak memasuki sungai yang boleh menyebabkan air sungai tercemar. Semua tong racun serangga juga hendaklah dibuang di tempat yang dikhaskan oleh pihak berkuasa.

          Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan dan kuasa undang-undang. Pihak kerajaan boleh mengeluarkan perbelanjaan tertentu untuk membersihkan kawasan tertentu, khususnya kawasan kunjungan pelancong. Jika terdapat pihak yang sengaja mencemarkan alam sekitar, pihak kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang yang tegas.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara untuk menjaga kebaersihan alam sekitar. Kebersihan alam sekitar perlu dijaga setiap masa kerana alam sekitar yang bersih menggambarkan sikap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Pada pendapat saya, semua pihak mesti berganding bahu untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih dan ceria boleh menjadi aset kepada negara dalam memajukan sektor pelancongan.

Click di sini untuk download : Download

Kebaikan Menjaga Alam Sekitar

          Isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar kerap menjadi bahan perbincangan dalam surat khabar. Hal ini kerana alam sekitar negara kita sudah semakin tercemar. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar ini tidak boleh dipandang ringan. Sebenarnya terdapat beberapa kebaikan menjaga alam sekitar.

          Antara kebaikan menjaga alam sekitar ialah alam sekitar akan menjadi bersih. Oleh itu, semua lapisan masyarakat mestilah mengamalkan nilai-nilai murni supaya kebersihan alam sekitar dapat terus terjaga. Alam sekitar yang bersih membolehkan kita menikmati keindahan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih juga akan memberikan ketenangan jiwa kepada kita.

          Selain itu, alam sekitar yang dijaga dengan baik juga dapat mengelakkan daripada berlakunya pencemaran alam sekitar. Terdapat beberapa pencemaran yang sering berlaku seperti pencemaran sungai dan pencemaran udara. Pencemaran alam sekitar yang berlaku akan mendatangkan pelbagai masalah kepada diri sendiri, orang awam dan pihak kerajaan. Oleh itu, jika ada pihak yang mencemarkan alam sekitar, aduan hendaklah dibuat segera kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar.

          Jika kita menjaga alam sekitar dengan baik, pasti kita hidup dalam keadaan yang sihat dan gembira. Sesungguhnya, alam sekitar yang kotor boleh mendatangkan penyakit kepada kita kerana banyak binatang perosak suka tinggal di kawasan yang kotor. Antara binatang yang suka tinggal di tempat yang kotor ialah tikus, lipas dan nyamuk. Jika kita hidup dalam keadaan yang sihat, pasti kehidupan kita akan lebih bahagia dan gembira.

          Di samping itu, alam sekitar yang bersih dapat memajukan sektor pelancongan negara. Sektor pelancongan negara amat penting kepada negara kerana sekiranya sektor pelancongan maju maka secara tidak langsung ekonomi negara juga akan turut maju. Sebagai contoh, apabila alam sekitar bersih dan cantik, pasti ramai pelancong akan datang ke negara kita. Kehadiran pelancong ini akan menambahkan pendapatan negara seterusnya dapat memajukan negara.

          Alam sekitar yang bersih juga akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam membersihkan alam sekitar yang kotor. Projek membersihkan alam sekitar yang kotor memerlukan perbelanjaan yang banyak. Jika alam sekitar bersih, maka kerajaan boleh menggunakan wang tersebut untuk membina sekolah, dewan orang ramai dan kemudahan awam yang lain. Selain itu, kerajaan juga boleh menumpukan sepenuh usaha dan tenaga ke arah pembangunan negara.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kebaikan menjaga alam sekitar agar sentiasa bersih dan ceria. Alam sekitar yang kotor akan mendatangkan kesan negatif kepada negara. Pada pendapat saya, semua pihak mesti memainkan peranan dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Sesungguhnya, alam sekitar yang bersih dan ceria akan menjadikan Malaysia bertambah makmur dan maju.

Click di sini untuk download : Download

Peranan Pihak Sekolah Dalam Menjayakan Kempen Kitar Semula

          Isu tentang alam sekitar dan aktiviti kitar semula kerap diperkatakan dalam surat khabar. Justeru, kerajaan telah mengadakan Kempen Kitar Semula beberapa tahun yang lalu. Pada pandangan saya, Kempen Kitar Semula merupakan satu kempen yang baik dan perlu diteruskan. Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan penting dalam menjayakan Kempen Kitar Semula.

          Pihak sekolah boleh mengadakan Kempen Kitar Semula di peringkat sekolah. Kempen kitar semula ini boleh dibuat selama sebulan oleh pihak sekolah. Semasa kempen berlangsung, semua guru akan mengingatkan pelajar tentang kebaikan menjalankan aktiviti kitar semula di sekolah dan di rumah. Para pelajar akan diminta membawa bahan buangan yang boleh dikita semula ke sekolah untuk dijual kepada kilang kitar semula.

          Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan ceramah tentang kebaikan aktiviti kitar semula. Pihak sekolah boleh menjemput pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar bagi memberikan ceramah tentang kebaikan aktiviti kitar semula. Dalam ceramah ini, pelajar digalakkan untuk bertanya soalan kepada penceramah. Pelajar juga digalakkan membuat catatan tentang kandungan ceramah yang didengar agar pengetahuan yang diperolehi akan kekal lama.

          Pihak sekolah juga boleh mengadakan pameran tentang aktiviti kitar semula yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak swasta. Antara agensi kerajaan yang boleh dipanggil untuk membuat pameran ialah Jabatan Alam Sekitar. Selain itu, para pelajar juga digalakkan menghasilkan buku skrap tentang aktiviti kitar semula. Sebagai galakan, pihak sekolah perlu memberi hadian dan sijil kepada pelajar yang berjaya menghasilkan buku skrap terbaik.

          Aktiviti lain yang boleh diadakan oleh pihak sekolah ialah mengadakan pertandingan mengarang tentang kebaikan aktiviti kitar semula. Pertandingan ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu menengah rendah dan menengah atas. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan pertandingan kuiz alam sekitar, khususnya yang berkaitan dengan aktiviti alam sekitar. Setiap pemenang akan menerima hadian yang bersesuaian daripada pihak sekolah sebagai galakan kepada pelajar.

          Di samping itu, pihak sekolah juga boleh menganjurkan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang memberikan pengetahuan dan kesedaran tentang aktiviti kitar semula. Antara tempat-tempat tersebut ialah kilang memproses bahan kitar semula. Semasa lawatan ini, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar bertanya soalan dan mengambil gambar. Bahan-bahan yang diperolehi ini pula akan diolah supaya menjadi buku skrap secara kumpulan untuk rujukan dan pengetahuan kepada pelajar lain.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menjayakan Kempen Kitar Semula. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pihak sekolah ini perlu dilakukan secara berterusan kerana program kitar semula banyak kebaikannya. Pada pendapat saya, pihak ibu bapa juga mesti mengamalkan aktiviti kitar semula di rumah, agar anak-anak mereka mendapat contoh yang baik. Dengan kerjasama semua pihak, saya pasti Kempen Kitar Semula dapat mencapai objektif yang diharapkan.

Click di sini untuk download : Download

Kebaikan Kitar Semula

          Isu-isu yang berkaitan dengan kitar semula kerap menjadi bahan perbincangan di media massa. Pihak kerajaan giat melaksanakan kempen kitar semula di kalangan masyarakat sejak beberapa tahun yang lalu. Pada pandangan saya, program kitar semula ini masih belum mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat. Terdapat beberapa kebaikan program kitar semula diperkenalkan kepada masyarakat.

          Antara kebaikan program kitar semula ialah kita dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar. Melalui program kitar semula, bahan-bahan buangan seperti kertas, kaca dan plastik akan dikumpulkan dan dihantar ke kilang kitar semula. Oleh itu, alam sekitar akan menjadi bersih kerana bahan buangan tidak dibuang sesuka hati ke dalam sungai, laut atau semak. Sesungguhnya, alam sekitar yang bersih akan menghindarkan kita daripada penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lipas dan tikus.

          Selain itu, program kitar semula dapat menambahkan pendapatan kita. Bahan-bahan buangan seperti plastik, kertas dan besi ada harganya di pasaran. Kita akan memperolehi wang apabila menjual barang-barang ini kepada pihak kilang kitar semula. Wang yang kita perolehi ini boleh digunakan untuk membeli barang-barang keperluan harian kita.

          Dengan melakukan aktiviti kitar semula, kita juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai-nilai murni tersebut ialah berjimat cermat, bertanggungjawab dan mencintai alam sekitar. Melalui amalan berjimat cermat, kita akan menggunakan bekas plastik sehingga rosak dan tidak membazir. Melalui amalan bertanggungjawab pula, kita akan mengitar semula barangan yang boleh dikitar semula dan tidak akan membuangnya ke dalam semak atau ke dalam sungai.

          Di samping itu, kita dapat menjimatkan sumber alam yang semakin berkurangan. Dengan aktiviti kitar semula kertas-kertas lama, kita dapat mengelakkan penebangan pokok bagi menghasilkan kertas. Kitar semula besi buruk pula dapat mengelakkan logam besi cepat habis. Bagi bahan plastik pula, kita bukan sahaja dapat menjimatkan sumber untuk membuat bahan plastik tetapi kita juga dapat mengelakkan kesan buruk daripada bahan kimia yang dihasilkannya.

          Aktiviti kitar semula juga dapat membuka satu lagi peluang pekerjaan kepada rakyat di kilang kitar semula. Secara tidak langsung aktiviti ini juga dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat. Sesungguhnya, rakyat yang mempunyai pekerjaan akan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Rakyat yang mempunyai pekerjaan juga akan terhindar daripada melakukan masalah sosial seperti mencuri dan merompak.

          Sebagai kesimpulan, aktiviti kitar semula mendatangkan banyak kebaikan kepada rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu untuk menjayakan aktiviti kitar semula. Pada pendapat saya kempen kitar semula mesti diteruskan oleh pihak kerajaan agar dapat memberikan kesedaran yang berpanjangan kepada masyarakat. Pihak sekolah pula wajar menjadikan aktiviti kitar semula sebagai program tahunan sekolah untuk memupuk amalan kitar semula di kalangan pelajar.

Click di sini untuk download : Download

Cara-Cara Menjaga Kebersihan Laut

          Isu-isu berkaitan dengan kebersihan laut kerap menjadi bahan perbincangan di kalangan nelayan. Ramai di kalangan nelayan berpendapat bahawa keadaan laut pada masa ini kian tercemar. Pada pendapat saya pencemaran laut tidak boleh dipandang ringan oleh pihak kerajaan. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan laut.

          Antara pihak yang boleh memainkan peranan dalam menjaga kebersihan laut ialah diri kita sendiri. Oleh itu, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Setiap individu tidak boleh membuang sampah di dalam laut kerana perbuatan tersebut akan menyebabkan laut menjadi kotor. Jika terdapat pihak lain yang mengotorkan air laut, kita hendaklah membuat aduan kepada pihak berkuasa.

          Selain itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam menjaga kebersihan laut. Contohnya, masyarakat tidak boleh menjadikan laut sebagai tempat untuk membuang sampah. Masyarakat juga mesti mengelakkan diri daripada membuang air kumbahan ke dalam laut. Sewajarnya, masyarakat mengadakan gotong-royong untuk membersihkan persekitaran laut agar laut berada dalam keadaan yang bersih dan cantik.

          Pengusaha syarikat perkapalan juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan laut. Hal ini kerana pengusaha syarikat perkapalan boleh menasihati anak kapal supaya tidak membuang sampah ke dalam laut. Syarikat perkapalan juga tidak wajar membuang minyak hitam ke dalam laut sewaktu pelayaran kerana ia boleh menyebabkan pencemaran laut. Pada masa yang sama, syarikat perkapalan tangki minyak mesti mengelakkan kemalangan agar minyak yang dibawa tidak tumpah ke dalam laut.

          Di samping itu, pengusaha industri juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan laut. Pengusaha industri tidak boleh membuang sisa toksik yang dikeluarkan oleh kilang ke dalam laut. Sisa toksik hendaklah dilupuskan di tempat yang dikhaskan oleh pihak berkuasa. Selain itu, pihak pengusaha industri juga hendaklah merawat dahulu air, sebelum dialirkan ke dalam laut bagi mengelakkan berlakunya pencemaran laut.

          Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan laut. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan bagi menjaga kebersihan laut. Oleh itu, pihak kerajaan boleh mengupah syarikat tertentu bagi membersihkan persekitaran laut terutama di kawasan-kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga boleh mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak yang didapati bersalah mencemarkan laut.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk manjaga kebersihan laut. Kebersihan laut memang patut dijaga kerana di dalamnya terkandung sumber makanan untuk manusia. Pada pendapat saya, pihak kerajaan harus menjaga kebersihan laut kerana laut dan persekitarannya merupakan aset negara dan kawasan pelancongan negara. Sesungguhnya, laut yang bersih akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang cantik dan menarik.

Click di sini untuk download : Download

Friday 19 July 2013

Cara-Cara Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar

          Isu-isu yang bekaitan dengan alam sekitar kerap menjadi bahan paparan surat khabar. Hal ini kerana pencemaran alam sekitar didapati telah bertambah dari semasa ke semasa. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana banyak kesan buruk yang boleh berlaku. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

          Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mengatasi pencemaran alam sekitar. Hal ini kerana ibu bapa mempunyai masa yang panjang bersama anak-anak. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak agar tidak membuang sampah ke dalam longkang, laut atau sungai. Selain itu, ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam menjaga alam sekitar.

          Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Contohnya, pihak sekolah boleh menasihati pelajar supaya menjaga alam sekitar pada setiap masa. Pihak sekolah juga boleh menganjurkan program gotong-royong untuk mencantikkan persekitaran sekolah. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menganjurkan Kempen Sayangi Alam Sekitar agar para pelajar sayangkan alam sekitar dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan alam sekitar.

          Syarikat televisyen dan surat khabar juga boleh memainkan peranan. Sesungguhnya, peranan stesen televisyen dan surat khabar dalam mempengaruhi minda masyarakat memang tidak dapat disangkai. Oleh itu, stesen telivisyen perlu menyiarkan gambar pihak-pihak yang telah mencemarkan alam sekitar agar menjadi pengajaran kepada orang ramai. Surat khabar juga boleh menyiarkan rencana bagi mengatasi masalah alam sekitar.

          Pemimpin masyarakat juga boleh membantu dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar. Pemimpin masyarakat mesti mengingati ahli masyarakat agar sentiasa menjaga alam sekitar dalam kehidupan seharian. Selain itu, pemimpin masyarakat perlu melawat persekitaran tempat tinggal masyarakat setempat dan berusaha mengatasi pencemaran alam sekitar yang ada. Pemimpin masyarakat juga boleh membuat program gotong-royong untuk membersihkan tempat tinggal penduduk di kawasan jagaan mereka bagi mengatasi pencemaran alam sekitar.

          Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan  yang penting dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai peruntukan wang bagi melaksanakan program-program mengatasi pencemaran alam sekitar. Pihak kerajaan juga boleh mendakwa pihak yang mencemarkan alam sekitar di mahkamah agar menjadi pengajaran kepada orang lain. Di samping itu, pihak kerajaan juga boleh mengadakan Kempen Menjaga Alam Sekitar di peringkat kebangsaan bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada masyarakat tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Masalah pencemaran alam sekitar mesti diatasi dengan segera kerana masalah ini mendatangkan pelbagai implikasi kepada masyarakat dan negara. Pada pandangan saya, semua pihak mesti bekerjasama dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Dengan kerjasama semua pihak pasti pencemaran alam sekitar dapat diatasi dengan baik.

Click di sini untuk download : Download

Keburukan Pencemaran Alam Sekitar

          Isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar kerap menjadi bahan perbincangan dalam surat khabar. Terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar yang kerap berlaku di negara kita. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Pencemaran alam sekitar yang berlaku telah mendatangkan beberapa keburukan kepada masyarakat dan negara.

          Pencemaran alam sekitar yang berlaku boleh mendatangkan penyakit kepada manusia. Hal ini kerana alam sekitar yang kotor akan menyebabkan pelbagai jenis serangga seperti nyamuk aedes dapat membiak dengan lebih banyak. Gigitan nyamuk aedes boleh menyebabkan masalah pernafasan seperti penyakit asma.

       Selain itu, pencemaran alam sekitar juga akan menyebabkan bencana alam. Sebagai contoh, pencemaran daratan boleh menyebabkan banjir lumpur apabila hujan turun dengan lebat. Bencana alam seperti tanah runtuh juga boleh berlaku apabila kawasan tanah tinggi telah digondolkan untuk membina kawasan perumahan atau kawasan perindustrian. Selain itu, kejadian banjir kilat juga berpunca daripada kegiatan pembuangan sampah ke dalam sungai hingga menyebabkan pengaliran air sungai ke laut terhalang oleh sampah sarap tersebut.

          Pencemaran alam sekitar juga boleh menyebabkan keseimbangan alam sekitar terjejas. Apabila banyak hutan ditebang, kandungan gas oksigen akan berkurangan manakala kandungan karbon dioksida pula meningkat. Pencemaran udara juga akan menyebabkan berlakunya hujan asid. Selain itu menurut kajian, cuaca dunia yang tidak menentu disebabkan oleh kadar pencemaran alam yang semakin bertambah.

          Di samping itu, pencemaran alam sekitar telah menjejaskan sektor pertanian negara. Hasil pertanian didapati semakin menurun dan kualitinya pula menjadi kurang baik. Petani terpaksa menggunakan baja yang banyak untuk meningkatkan hasil dan hal ini boleh menjejaskan kasihatan manusia. Pembiakan hidupan laut seperti ikan dan udang juga semakin berkurangan akibat pencemaran air sungai dan laut.

          Pencemaran alam sekitar yang berlaku juga boleh menyebabkan sektor perlancongan negara terganggu. Hal ini kerana banyak tempat menarik telah tercemar dengan sampah sarap. Pantai-pantai yang cantik juga telah tercemar dengan minyak hitam daripada kapal-kapal laut. Oleh itu, para pelancong tidak mahu datang ke kawasan pelancongan ini dan kerajaan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membersihkan tempat-tempat pelancongan ini.

          Sebagai kesimpulan, pencemaran alam sekitar yang berlaku telah mendatangkan pelbagai masalah kepada rakyat. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama mengatasi masalah pencemaran alam sekitar ini. Pada pendapat saya, pihak kerajaan hendaklah mengadakan kempen bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Dengan kerjasama semua pihak, saya pasti masalah pencemaran alam sekitar dapat diatasi.

Click di sini untuk download : Download

Sebab-Sebab Pencemaran Alam Sekitar

          Isu-isu tentang alam sekitar kerap dipaparkan dalam surat khabar dan telebisyen. Terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar yang sering berlaku di negara kita antaranya ialah pencemaran air sungai dan pencemaran udara. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa sebab terjadinya pencemaran alam sekitar di negara kita.

          Sebab utama pencemaran alam sekitar berlaku adalah kerana sikap individu itu sendiri. Terdapat individu yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan lalu membuang sampah ke dalam sungai. Individu yang membuang sampah ke dalam sungai ini akan menyebabkan sungai dipenuhi dengan sampah sarap lalu sungai menjadi kotor. Selain itu, perbuatan membuang puntung rokok ke dalam semak pula akan menyebabkan kebakaran yang boleh mencemarkan udara.

          Selain itu, sikap masyarakat juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar berlaku. Kebanyakan ahli masyarakat menganggap sungai sebagai tempat untuk membuang sampah dan tempat menyalurkan air yang kotor atau sisa kumbahan dari rumah mereka. Masyarakat juga tidak mahu membersihkan sungai yang dipenuhi rumput, timbunan lumpur atau timbunan sampah ni. Akhirnya, sungai akan menjadi semakin cetek dan kotor hingga boleh menyebabkan banjir kilat apabila hujan turun dengan lebat dan berterusan.

          Sikap pekerja syarikat perkapalan juga boleh menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pekerja syarikat perkapalan yang membuang minyak hitam ke dalam laut semasa kapal sedang berlayar. Tujuan pekerja ini membuang minyak hitam ke dalam laut adalah untuk menjimatkan kos melupuskan minyak hitam. Akibatnya, air laut akan tercemar dan hidupan laut seperti ikan, sotong dan udang akan mati atau tercemar.

          Di samping itu, sikap pekerja di sektor pertanian juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pekerja di sektor pertanian yang membuang sisa racun rumpai ke dalam sungai dan perbuatan ini boleh menyebabkan air sungai tercemar. Selain itu, terdapat juga pekerja di sektor pertanian yang membakar hutan bagi membersihkan tanah untuk bercucuk tanam. Hutan yang terbakar ini akan mengeluarkan asap yang tebal lalu berlakulah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

          Sikap negatif sesetengah pegawai penguatkuasa alam sekitar juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pegawai penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan baik dan amanah. Sebagai contoh, pihak yang mencemarkan alam sekitar tidak dikenakan tindakan yang sewajarnya. Oleh itu, mereka akan mengulangi perbuatan mereka ini hingga keadaan alam sekitar menjadi semakin teruk dan menyusahkan banyak pihak.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa sebab yang membawa kepada berlakunya pencemaran alam sekitar. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar kerana pencemaran alam sekitar boleh membawa banyak masalah kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat saya, pihak kerajaan boleh memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar. Alam sekitar yang versih pasti akan dapat membantu memajukan lagi sektor pelancongan negara.

Click di sini untuk download : Download

Jenis-Jenis Pencemaran Alam Sekitar

          Isu pencemaran alam sekitar kerap menjadi tajuk berita di televisyen dan surat khabar. Hal ini kerana pencemaran alam sekitar didapati telah bertambah dari setahun ke setahun. Pada pendapat saya isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh ahli masyarakat. Daripada kajian yang telah dibuat terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar.

          Antara pencemaran alam sekitar yang selalu terjadi ialah pencemaran air sungai. Pencemaran air sungai berlaku apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang bahan-bahan yang kotor ke dalam sungai. Antara bahan-bahan tersebut ialah sisa toksik dari kilang dan sampah sarap yang dibuang oleh orang ramai ke dalam sungai. Sesungguhnya, air sungai yang kotor ini boleh menjejaskan kesihatan masyarakat jika ia digunakan sebagai air minuman.

          Selain itu, berlaku juga pencemaran air laut yang boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada manusia dan haiwan. Pencemaran air laut ini telah menyebabkan hidupan laut seperti ikan, sotong dan udang mati. Pencemaran air laut berlaku kerana pembuangan sisa toksik dan pembuangan minyak hitam oleh kapal-kapal. Pencemarn air laut juga boleh berlaku disebabkan tumpahan minyak akibat kebocoran kapal tangki minyak.

          Pencemaran udara juga merupakan satu lagi jenis pencemaran alam sekitar. Pencemaran udara berlaku apabila banyak asap dikeluarkan oleh kenderaan seperti motosikal, kereta dan lori. Pencemaran udara juga boleh terjadi akibat aktiviti pembakaran hutan untuk tujuan pertanian. Pencemaran udara ini boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit yang berkaitan dengan pernafasan.

          Di samping itu, berlaku juga pencemaran daratan yang boleh memberikan kesan buruk kepada alam sekitar. Pencemaran daratan ini berlaku akibat perbuatan manusia yang melakukan aktiviti pembalakan di hutan tanpa perancangan rapi. Pencemaran daratan juga berlaku apabiala pihak yang meratakan tanah di kawasan tanah tinggi untuk membina bangunan atau lebuh raya tanpa membuat perancangan rapi. Akibatnya berlakulah banjir lumpur sehingga menyebabkan air sungai menjadi kotor serta busuk.

          Satu lagi jenis pencemaran alam sekitar yang sering berlaku ialah pencemaran bunyi. Pencemaran bunyi berlaku kerana sesetengah kenderaan mengeluarkan bunyi kuat yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Antara kenderaan yang mengeluarkan bunyi yang kuat ialah kapal terbang dan lori. Pencemaran bunyi ini akan menyebabkan gegendang telinga kita menjadi rosak seterusnya mengakibatkan masalah pendengaran.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar. Pencemaran alam sekitar ini boleh mendatangkan banyak kesan buruk kepada kehidupan manusia dan haiwan. Pada pendapat saya, pihak kerajaan dan masyarakat hendaklah bekerjasama dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Sesungguhnya alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih sihat dan negara dapat memajukan lagi sektor pelancongan.

Click di sini untuk download : Download