Friday 19 July 2013

Jenis-Jenis Pencemaran Alam Sekitar

          Isu pencemaran alam sekitar kerap menjadi tajuk berita di televisyen dan surat khabar. Hal ini kerana pencemaran alam sekitar didapati telah bertambah dari setahun ke setahun. Pada pendapat saya isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh ahli masyarakat. Daripada kajian yang telah dibuat terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar.

          Antara pencemaran alam sekitar yang selalu terjadi ialah pencemaran air sungai. Pencemaran air sungai berlaku apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang bahan-bahan yang kotor ke dalam sungai. Antara bahan-bahan tersebut ialah sisa toksik dari kilang dan sampah sarap yang dibuang oleh orang ramai ke dalam sungai. Sesungguhnya, air sungai yang kotor ini boleh menjejaskan kesihatan masyarakat jika ia digunakan sebagai air minuman.

          Selain itu, berlaku juga pencemaran air laut yang boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada manusia dan haiwan. Pencemaran air laut ini telah menyebabkan hidupan laut seperti ikan, sotong dan udang mati. Pencemaran air laut berlaku kerana pembuangan sisa toksik dan pembuangan minyak hitam oleh kapal-kapal. Pencemarn air laut juga boleh berlaku disebabkan tumpahan minyak akibat kebocoran kapal tangki minyak.

          Pencemaran udara juga merupakan satu lagi jenis pencemaran alam sekitar. Pencemaran udara berlaku apabila banyak asap dikeluarkan oleh kenderaan seperti motosikal, kereta dan lori. Pencemaran udara juga boleh terjadi akibat aktiviti pembakaran hutan untuk tujuan pertanian. Pencemaran udara ini boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit yang berkaitan dengan pernafasan.

          Di samping itu, berlaku juga pencemaran daratan yang boleh memberikan kesan buruk kepada alam sekitar. Pencemaran daratan ini berlaku akibat perbuatan manusia yang melakukan aktiviti pembalakan di hutan tanpa perancangan rapi. Pencemaran daratan juga berlaku apabiala pihak yang meratakan tanah di kawasan tanah tinggi untuk membina bangunan atau lebuh raya tanpa membuat perancangan rapi. Akibatnya berlakulah banjir lumpur sehingga menyebabkan air sungai menjadi kotor serta busuk.

          Satu lagi jenis pencemaran alam sekitar yang sering berlaku ialah pencemaran bunyi. Pencemaran bunyi berlaku kerana sesetengah kenderaan mengeluarkan bunyi kuat yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Antara kenderaan yang mengeluarkan bunyi yang kuat ialah kapal terbang dan lori. Pencemaran bunyi ini akan menyebabkan gegendang telinga kita menjadi rosak seterusnya mengakibatkan masalah pendengaran.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar. Pencemaran alam sekitar ini boleh mendatangkan banyak kesan buruk kepada kehidupan manusia dan haiwan. Pada pendapat saya, pihak kerajaan dan masyarakat hendaklah bekerjasama dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Sesungguhnya alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih sihat dan negara dapat memajukan lagi sektor pelancongan.

Click di sini untuk download : Download

2 comments: