Saturday 20 July 2013

Peranan Pihak Sekolah Dalam Menjayakan Kempen Kitar Semula

          Isu tentang alam sekitar dan aktiviti kitar semula kerap diperkatakan dalam surat khabar. Justeru, kerajaan telah mengadakan Kempen Kitar Semula beberapa tahun yang lalu. Pada pandangan saya, Kempen Kitar Semula merupakan satu kempen yang baik dan perlu diteruskan. Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan penting dalam menjayakan Kempen Kitar Semula.

          Pihak sekolah boleh mengadakan Kempen Kitar Semula di peringkat sekolah. Kempen kitar semula ini boleh dibuat selama sebulan oleh pihak sekolah. Semasa kempen berlangsung, semua guru akan mengingatkan pelajar tentang kebaikan menjalankan aktiviti kitar semula di sekolah dan di rumah. Para pelajar akan diminta membawa bahan buangan yang boleh dikita semula ke sekolah untuk dijual kepada kilang kitar semula.

          Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan ceramah tentang kebaikan aktiviti kitar semula. Pihak sekolah boleh menjemput pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar bagi memberikan ceramah tentang kebaikan aktiviti kitar semula. Dalam ceramah ini, pelajar digalakkan untuk bertanya soalan kepada penceramah. Pelajar juga digalakkan membuat catatan tentang kandungan ceramah yang didengar agar pengetahuan yang diperolehi akan kekal lama.

          Pihak sekolah juga boleh mengadakan pameran tentang aktiviti kitar semula yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak swasta. Antara agensi kerajaan yang boleh dipanggil untuk membuat pameran ialah Jabatan Alam Sekitar. Selain itu, para pelajar juga digalakkan menghasilkan buku skrap tentang aktiviti kitar semula. Sebagai galakan, pihak sekolah perlu memberi hadian dan sijil kepada pelajar yang berjaya menghasilkan buku skrap terbaik.

          Aktiviti lain yang boleh diadakan oleh pihak sekolah ialah mengadakan pertandingan mengarang tentang kebaikan aktiviti kitar semula. Pertandingan ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu menengah rendah dan menengah atas. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan pertandingan kuiz alam sekitar, khususnya yang berkaitan dengan aktiviti alam sekitar. Setiap pemenang akan menerima hadian yang bersesuaian daripada pihak sekolah sebagai galakan kepada pelajar.

          Di samping itu, pihak sekolah juga boleh menganjurkan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang memberikan pengetahuan dan kesedaran tentang aktiviti kitar semula. Antara tempat-tempat tersebut ialah kilang memproses bahan kitar semula. Semasa lawatan ini, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar bertanya soalan dan mengambil gambar. Bahan-bahan yang diperolehi ini pula akan diolah supaya menjadi buku skrap secara kumpulan untuk rujukan dan pengetahuan kepada pelajar lain.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menjayakan Kempen Kitar Semula. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pihak sekolah ini perlu dilakukan secara berterusan kerana program kitar semula banyak kebaikannya. Pada pendapat saya, pihak ibu bapa juga mesti mengamalkan aktiviti kitar semula di rumah, agar anak-anak mereka mendapat contoh yang baik. Dengan kerjasama semua pihak, saya pasti Kempen Kitar Semula dapat mencapai objektif yang diharapkan.

Click di sini untuk download : Download

1 comment: