Sunday 6 October 2013

Aktiviti Sambutan Bulan Kemerdekaan Di Sekolah

          Isu-isu yang berkaitan dengan kemerdekaan negara kerap menjadi paparan di surat khabar, khususnya pada bulan Ogos setiap tahun. Hal ini kerana pada 31 Ogos setiap tahun, Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan. Pada pendapat saya, setiap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menjayakan sambutan kemerdekaan yang diadakan. Pelbagai program juga turut diatur oleh pihak sekolah untuk menjayakan sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah.

          Antara program yang diadakan di peringkat sekolah ialah majlis pelancaran. Majlis pelancaran ini akan diadakan di dalam dewan atau tempat lapang. Majlis pelancaran ini dihadiri oleh pelajar, guru-guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Dalam majlis pelancaran ini tuan pengetua akan memberikan ucapan manakala pelajar akan menyanyikan beberapa lagu patriotik.

          Selain itu, terdapat juga program mengibarkan Jalur Gemilang. Jalur Gemilang akan dipasang di sekeliling sekolah seperti di pintu masuk sekolah, dewan sekolah dan di hadapan pejabat. Jalur Gemilang juga turut dipasang di dalam kelas supaya kelas bertambah ceria. Terdapat juga sekolah yang mengadakan pertandingan mengibarkan Jalur Gemilang antara kelas.

          Di samping itu, diadakan juga pertandingan dalaman sekolah. Pertandiangan ini biasanya dianjurkan oleh Panitia Sejarah atau Persatuan Sejaran sekolah. Antara pertandingan yang diadakan ialah pertandingan mengarang esei, kuiz, syarahan, pidato, perbahasan dan deklamasi sajak. Lazimnya, hadiah dan sijil akan diberikan kepada para pemenang semasa majlis penutup sambutan Bulan Kemerdekaan sebagai tanda penghargaan.

          Terdapat juga pihak sekolah yang mengadakan sambutan Ambang Merdeka. Sambutan Ambang Merdeka diadakan pada malam 30 Ogos. Sambutan Ambang Merdeka ini lazimnya dihadiri oleh pelajar, guru dan pemimpin masyarakat yang dijemput. Antara aktiviti yang dijalankan semasa sambutan Ambang Merdeka ialah ceramah dan nyanyian lagu patriotisme.

          Acara terakhir sambutan Bulan Kemerdekaan ialah majlis penutup. Majlis penutup diadakan pada 16 September. Majlis ini dihadiri oleh pelajar, guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Antara aktiviti yang diadakan ialah ucapan pengetua, persembahan pelajar dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang Bulan Kemerdekaan.

          Sebagai kesimpulan, banyak aktiviti yang diadakan dalam sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah. Program-program yang diadakan ini banyak memberikan kebaikan kepada pelajar dan guru. Pada pendapat saya, program sambutan Bulan Kemerdekaan telah dapat memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar. Secara tidak langsung juga, program sambutan Bulan Kemerdekaan ini dapat memupuk perpaduan kaum di kalangan pelajar dan guru.

Click di sini untuk download : Download

Monday 30 September 2013

Cara-Cara Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

          Isu-isu yang berkaitan dengan kemalangan jalan raya kerap menjadi bahan perbincangan dalam media massa. Paparan kemalangan jalan raya di televisyen dan surat khabar jelas menunjukkan bahawa kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat setiap tahun. Pada pendapat saya, isu kemalangan jalan raya ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana kemalangan jalan raya banyak mendatangkan masalah. Beberapa langkah patut diambil dengan segera untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

          Kemalangan jalan raya pasti dapat dikurangkan jika sikap pemandu dapat diubah. Justeru, semua pemandu kenderaan perlu mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Antara peraturan yang penting dan mesti dipatuhi ialah jangan memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Pemandu juga mesti bertolak ansur ketika berada di jalan raya dan berhati-hati ketika memandu dalam cuaca hujan.Selain itu, pemandu juga mesti memastikan kenderaan mereka dalam keadaan yang baik.

          Keluarga juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menasihati anak-anak agar memandu dengan cermat ketika di jalan raya. Pada masa yang sama, anak-anak juga boleh mengingatkan serta menasihati ibu bapa supaya mematuhi peraturan jalan raya pada setiap masa. Sikap saling menasihati ini pasti dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama pada musim perayaan.

          Selain itu, pihak media massa juga boleh memainkan peranan. Keupayaan media massa dalam mempengaruhi sikap masyarakat memamng tidak dapat disangkal lagi. Sebagai contoh media massa seperti stesen televisyen boleh menyiarkan gambar kemalangan jalan raya yang telah berlaku sebagai peringatan kepada pemandu lain. Manakala surat khabar pula boleh menyiarkan rencana tentang kesan kemalangan jalan raya.

          Pihak penguatkuasa undang-undang jalan raya juga boleh memainkan peranan. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang menggunakan jalan raya dan hanya membenarkan kenderaan yang baik sahaja beroperasi di jalan raya. Manakala pihak polis boleh membuat perangkap had laju di semua jalan raya dan menyaman kenderaan yang dipandu melebihi had laju yang ditetapkan. Pemandu yang mempunyai saman kesalahan jalan raya pula, tidak perlu dibenarkan memandu lagi di jalan raya.

          Di samping itu, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam mengurangkan kemalangan jalan raya. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa dalam menggubal undang-undang jalan raya yang baru. Pihak kerajaan juga mempunyai sumber kewangan bagi melaksanakan pelbagai program kesedaran tentang kemalangan jalan raya. Pihak kerajaan juga boleh mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya melalui stesen televisyen dan radio yang dimiliki oleh kerajaan.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak yang paling penting dalam menangani kemalangan jalan raya ialah pemandu kenderaan sendiri. Pada pendapat saya, kemalangan jalan raya pasti dapat dikurangkan jika semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing. Denagn kerjasama semua pihak, jalan raya di MAlaysia pasti dapat menjadi tempat yang selamat untuk semua pengguna jalan raya.

Click di sini untuk download : Download