Thursday 1 August 2013

Cara-Cara Memupuk Amalan Berjimat Cermat

          Berjimat cermat merupakan amalan yang baik dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Sikap berjimat cermat amat digalakkan oleh kerajaan. Justeru, tidak hairanlah isu ini sering dibincangkan di surat khabar dan televisyen. Pada pendapat saya, sikap berjimat cermat dapat mengelakkan sikap boros yang boleh mendatangkan kerugian kepada diri sendiri. Beberapa cara perlu dilakukan bagi memupuk amalan berjimat cermat di kalangan rakyat.
          
          Amalan berjimat cermat ini boleh dipupuk melalui peranan ibu bapa. Hal ini kerana anak-anak banyak menghabiskan masa di rumah bersama ibu bapa. Ibu bapa yang mengamalkan sikap bersederhana dan berjimat cermat akan menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Justeru, anak-anak pastinya akan mencontohi sikap jimat cermat ibu bapa yang mereka lihat setiap hari.

          Masyarakat juga boleh berperanan memupuk amalan berjimat cermat. Sesungguhnya sikap masyarakat yang berjimat cermat akan mempengaruhi sikap generasi muda dalam masyarakat tersebut. Sebagai contoh, masyarakat boleh mengamalkan sikap berjimat cermat dengan menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah untuk dijadikan sebagai makanan harian. Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu manasihati dan menegur sikap golongan muda yang suka membazirkan masa lapang mereka dengan aktiviti kurang berfaedah seperti melepak.

          Media massa juga berperanan dalam memupuk amalan berjimat cermat. Hal ini kerana media massa seperti surat khabar dan televisyen mudah untuk mempengaruhi minda masyarakat dalam sesuatu perkara termasuklah perkara yang berkaitan sikap berjimat cermat. Media massa boleh menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang kebaikan amalan berjimat cermat. Jika media massa dapat memainkan peranannya dengan baik, pasti masyarakat akan menjadikan sikap berjimat cermat sebagai budaya hidup.

          Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam memupuk amalan berjimat cermat di kalangan rakyat. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa dan sumber kewangan untuk melaksanakan Kempen Berjimat Cermat. Contohnya pihak kerajaan boleh menganjurkan Karnival Membeli-belah sepanjang tahun, yang menawarkan potongan harga sehingga 70%. Pihak kerajaan boleh juga mengingatkan pengguna supaya bijak berbelanja dan mengutamakan barangan buatan Malaysia.

          Selain itu, pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dalam memupuk amalan berjimat cermat. Hal ini kerana pihak sekolah boleh melaksanakan pelbagai program yang dapat menerapkan sikap berjimat cermat di kalangan pelajar secara langsung atau secara tidak langsung. Contohnya, pihak sekolah boleh menjalankan program kitar semula yang boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada diri pelajar dan juga alam sekitar. Pihak sekolah juga boleh menyemai sikap berjimat cermat dalam kegiatan kokurikulum yang diadakan.

          Sebagai kesimpulan, terdapat banyak pihak yang boleh memainkan peranan untuk memupuk amalan berjimat cermat. Sikap berjimat cermat adalah satu amalan yang baik dan ia perlu dipupuk sejak kecil lagi. Pada pendapat saya, pihak yang melakukan pembaziran patut dikenakan tindakan yang sewajarnya. Dengan kerjasama daripada semua pihak, saya pasti amalan berjimat cermat boleh menjadi budaya hidup rakyat Malaysia.

Click di sini untuk download : Download

5 comments: