Antara sikap anak yang cemerlang ialah menyayangi keluarga pada setiap masa. Anak-anak boleh menunjukkan sikap menyayangi keluarga dengan perbuatan seperti memeluk dan mencium pipi ibu bapa. Selain itu, anak-anak juga mestilah menyayangi keluarga terdekat seperti datuk, nenek, ibu saudara dan bapa saudara. Kehidupan anak-anak akan lebih tenteram dan bahagia jika mereka menyayangi ahli keluarga mereka.
Selain itu, anak-anak juga mestilah menghormati ibu bapa. Sikap menghormati ibu bapa ini boleh ditunjukkan melalui tingkah laku mendengar dan mengikuti nasihat ibu bapa. Jika anak-anak dimarahi ibu bapa kerana melakukan kesalahan, anak-anak mesti berfikiran positif dan memohon maaf di atas kesalahan yang telah dilakukan. Anak-anak juga perlu menghormati adik-beradik dan saudara-mara yang lain.
Anak-anak yang cemerlang juga akan mengamalkan sikap rajin. Sikap rajin ini bukan sahaja perlu dilakukan di rumah, malahan juga di sekolah. Ketika berada di rumah, anak-anak perlu rajin membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rutin harian seperti membasuh baju, membasuh pinggan-mangkuk dan menyapu sampah. Ketika di sekolah pula, anak-anak akan rajin membaca buku dan membuat latihan yang diberi oleh guru.
Di samping itu, anak-anak yang cemerlang juga akan bercita-cita untuk membalas jasa ibu bapa mereka. Hal ini kerana mereka menyedari betapa besarnya jasa ibu bapa terhadap mereka sejak kecil seperti menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang baik untuk mereka. Oleh itu, setelah mereka bekerja, anak cemerlang perlu memberikan sejumlah wang gaji mereka kepada ibu bapa sebagai cara menghargai jasa ibu bapa mereka. Anak-anak juga perlu mengambil berat tentang kesihatan ibu bapa dan menghantar ibu bapa ke klinik apabila mereka sakit.
Sesungguhnya, anak-anak yang cemerlang juga mempunyai disiplin diri yang tinggi. Mereka akan menggunakan masa yang ada dengan melakukan aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan membantu keluarga. Anak-anak yang cemerlang juga tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial. Selain itu, anak-anak yang cemerlang juga akan taat kepada perintah agama dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Sebagai kesimpulan, anak-anak yang cemerlang mempunyai banyak sikap yang baik. Lazimnya, anak yang cemerlang akan dapat membahagiakan diri sendiri dan ibu bapa. Pada pandangan saya, ibu bapa perlu memberikan pendidikan yang baik agar anak mereka menjadi anak yang cemerlang. Sesungguhnya usaha melahirkan anak yang cemerlang memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.
Click di sini untuk download : Download
Click di sini untuk download : Download
No comments:
Post a Comment