Friday, 19 July 2013

Sebab-Sebab Pencemaran Alam Sekitar

          Isu-isu tentang alam sekitar kerap dipaparkan dalam surat khabar dan telebisyen. Terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar yang sering berlaku di negara kita antaranya ialah pencemaran air sungai dan pencemaran udara. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa sebab terjadinya pencemaran alam sekitar di negara kita.

          Sebab utama pencemaran alam sekitar berlaku adalah kerana sikap individu itu sendiri. Terdapat individu yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan lalu membuang sampah ke dalam sungai. Individu yang membuang sampah ke dalam sungai ini akan menyebabkan sungai dipenuhi dengan sampah sarap lalu sungai menjadi kotor. Selain itu, perbuatan membuang puntung rokok ke dalam semak pula akan menyebabkan kebakaran yang boleh mencemarkan udara.

          Selain itu, sikap masyarakat juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar berlaku. Kebanyakan ahli masyarakat menganggap sungai sebagai tempat untuk membuang sampah dan tempat menyalurkan air yang kotor atau sisa kumbahan dari rumah mereka. Masyarakat juga tidak mahu membersihkan sungai yang dipenuhi rumput, timbunan lumpur atau timbunan sampah ni. Akhirnya, sungai akan menjadi semakin cetek dan kotor hingga boleh menyebabkan banjir kilat apabila hujan turun dengan lebat dan berterusan.

          Sikap pekerja syarikat perkapalan juga boleh menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pekerja syarikat perkapalan yang membuang minyak hitam ke dalam laut semasa kapal sedang berlayar. Tujuan pekerja ini membuang minyak hitam ke dalam laut adalah untuk menjimatkan kos melupuskan minyak hitam. Akibatnya, air laut akan tercemar dan hidupan laut seperti ikan, sotong dan udang akan mati atau tercemar.

          Di samping itu, sikap pekerja di sektor pertanian juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pekerja di sektor pertanian yang membuang sisa racun rumpai ke dalam sungai dan perbuatan ini boleh menyebabkan air sungai tercemar. Selain itu, terdapat juga pekerja di sektor pertanian yang membakar hutan bagi membersihkan tanah untuk bercucuk tanam. Hutan yang terbakar ini akan mengeluarkan asap yang tebal lalu berlakulah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

          Sikap negatif sesetengah pegawai penguatkuasa alam sekitar juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pegawai penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan baik dan amanah. Sebagai contoh, pihak yang mencemarkan alam sekitar tidak dikenakan tindakan yang sewajarnya. Oleh itu, mereka akan mengulangi perbuatan mereka ini hingga keadaan alam sekitar menjadi semakin teruk dan menyusahkan banyak pihak.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa sebab yang membawa kepada berlakunya pencemaran alam sekitar. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar kerana pencemaran alam sekitar boleh membawa banyak masalah kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat saya, pihak kerajaan boleh memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar. Alam sekitar yang versih pasti akan dapat membantu memajukan lagi sektor pelancongan negara.

Click di sini untuk download : Download

10 comments: