Monday 30 September 2013

Cara-Cara Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

          Isu-isu yang berkaitan dengan kemalangan jalan raya kerap menjadi bahan perbincangan dalam media massa. Paparan kemalangan jalan raya di televisyen dan surat khabar jelas menunjukkan bahawa kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat setiap tahun. Pada pendapat saya, isu kemalangan jalan raya ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana kemalangan jalan raya banyak mendatangkan masalah. Beberapa langkah patut diambil dengan segera untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

          Kemalangan jalan raya pasti dapat dikurangkan jika sikap pemandu dapat diubah. Justeru, semua pemandu kenderaan perlu mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Antara peraturan yang penting dan mesti dipatuhi ialah jangan memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Pemandu juga mesti bertolak ansur ketika berada di jalan raya dan berhati-hati ketika memandu dalam cuaca hujan.Selain itu, pemandu juga mesti memastikan kenderaan mereka dalam keadaan yang baik.

          Keluarga juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menasihati anak-anak agar memandu dengan cermat ketika di jalan raya. Pada masa yang sama, anak-anak juga boleh mengingatkan serta menasihati ibu bapa supaya mematuhi peraturan jalan raya pada setiap masa. Sikap saling menasihati ini pasti dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama pada musim perayaan.

          Selain itu, pihak media massa juga boleh memainkan peranan. Keupayaan media massa dalam mempengaruhi sikap masyarakat memamng tidak dapat disangkal lagi. Sebagai contoh media massa seperti stesen televisyen boleh menyiarkan gambar kemalangan jalan raya yang telah berlaku sebagai peringatan kepada pemandu lain. Manakala surat khabar pula boleh menyiarkan rencana tentang kesan kemalangan jalan raya.

          Pihak penguatkuasa undang-undang jalan raya juga boleh memainkan peranan. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang menggunakan jalan raya dan hanya membenarkan kenderaan yang baik sahaja beroperasi di jalan raya. Manakala pihak polis boleh membuat perangkap had laju di semua jalan raya dan menyaman kenderaan yang dipandu melebihi had laju yang ditetapkan. Pemandu yang mempunyai saman kesalahan jalan raya pula, tidak perlu dibenarkan memandu lagi di jalan raya.

          Di samping itu, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam mengurangkan kemalangan jalan raya. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa dalam menggubal undang-undang jalan raya yang baru. Pihak kerajaan juga mempunyai sumber kewangan bagi melaksanakan pelbagai program kesedaran tentang kemalangan jalan raya. Pihak kerajaan juga boleh mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya melalui stesen televisyen dan radio yang dimiliki oleh kerajaan.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak yang paling penting dalam menangani kemalangan jalan raya ialah pemandu kenderaan sendiri. Pada pendapat saya, kemalangan jalan raya pasti dapat dikurangkan jika semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing. Denagn kerjasama semua pihak, jalan raya di MAlaysia pasti dapat menjadi tempat yang selamat untuk semua pengguna jalan raya.

Click di sini untuk download : Download