Thursday, 1 August 2013

Kebaikan Berbelanja Dengan Berhemah

          Isu-isu yang berkaitan dengan amalan berbelanja dengan cara berhemah kerap menjadi bahan perbincangan semasa musim perayaan. Semasa musim perayaan, ramai orang cenderung untuk berbelanja melebihi kemampuan. Pada pendapat saya, sikap berbelanja melebihi pendapatan ini patut dihindarkan. Terdapat beberapa kebaikan jika kita berbelanja secara berhemah.

          Apabila kita berbelanja secara berhemah, kita akan dapat menjimatkan wang kita. Sewajarnya kita membuat perancangan terlebih dahulu sebelum berbelanja pada musim perayaan. Selain itu, kita hendaklah berjimat cermat dengan berbelanja mengikut kemampuan dan hanya membeli barangan yang perlu sahaja. Wang yang dapat kita jimatkan ketika berbelanja itu boleh digunakan untuk perbelanjaan yang lain.

          Selain itu, jika kita berbelanja secara berhemah, kita akan dapat mengelakkan daripada perbuatan membazir. Perbuatan membazir merupakan perbuatan yang merugikan diri kita sendiri. Jika kita memasak makanan, pastikan mekanan yang dimasak itu tidak berlebihan. Kita juga tidak perlu membeli perabot rumah yang banyak, belilah perabot rumah yang benar-benar perlu sahaja seperti meja makan, sofa, almari dan katil sahaja.

          Berbelanja secara berhemah juga akan membolehkan kita menyimpan wang lebihan pendapatan untuk kebaikan keluarga. Ibu bapa boleh menyimpan wang tersebut ke dalam tabung kecemasan untuk digunakan jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Mereka juga boleh menyimpan wang tersebut ke dalam tabung pendidikan anak-anak. Pada masa yang sama, ibu bapa perlu menasihati anak-anak supaya mengamalkan sikap menabung sejak kecil lagi.

          Di samping itu, sikap berbelanja secara berhemah juga membolehkan kita terhindar daripada bebanan hutang yang banyak. Hidup kita pasti tidak tenteram apabila mempunyai hutang yang banyak. Setiap awal bulan pastinya pihak bank akan menelefon kita untuk meminta hutang jika kita gagal membayar hutang kita. Seterusnya, kehidupan dalam keluarga juga pastinya tidak harmoni kerana sering berlaku pergaduhan kerana masalah bebanan hutang dan kewangan.

          Amalan berbelanja secara berhemah juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Amalan nilai-nilai murni ini boleh dipupuk secara langsung dan secara tidak langsung. Contohnya, amalan nilai murni secara langsung ialah amalan berjimat cermat dan rasional dalam berbelanja. Manakala amalan nilai murni yang dapat dipupuk secara tidak langsung ialah amalan bertanggungjawab dan berfikiran positif.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kebaikan yang boleh diperolehi daripada amalan berbelanja secara berhemah. Sikap berbelanja secara berhemah ini patut diamalkan setiap masa. Pada pendapat saya, ibu bapa mestilah menunjukkan contoh amalan berbelanja secara berhemah kepada anak-anak sejak kecil lagi. Jika semua lapisan masyarakat mengamalkan sikap berbelanja secara berhemah, saya pasti negara juga dapat manfaatnya.

Click di sini untuk download : Download

4 comments:

  1. Saya sangat gembira dapat contoh karagan seperti ini.Sudah berapa lama saya mencari saya sangat bersyukur sangat2 begitulah sya dpt 6A thank you

    ReplyDelete