Sunday, 21 July 2013

Amalan Berjimat Cermat

          Hal-hal yang berkaitan dengan amalan berjimat cermat sering dibincangkan dalam media massa seperti surat khabar dan televisyen. Amalan berjimat cermat memberi banyak kebaikan individu dan negara. Pada pendapar saya, sikap berjimat cermat ini wajar diamalkan oleh masyarakat pada setiap masa. Sikap berjimat cermat boleh diamalkan dalam kehidupan seharian dengan pelbagai cara.

          Setiap individu hendaklah menjimatkan penggunaan masa mereka. Masa yang dimiliki amat berharga seperti peribahasa Melayu 'Masa itu emas'. Oleh itu, kita perlu memenuhi masa kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku pelajaran, bekerja dan bersenam. Lazimnya, orang yang pandai menggunakan masa yang dimiliki akan berjaya dalam hidup dan dapat mencapai cita-cita yang diidamkan.

          Selain menjimatkan penggunaan masa, kita juga mesti berjimat dalam penggunaan wang. Wang yang kita perolehi perlu dibelanjakan dengan sebaik mungkin. Kita perlu membeli barang keperluan asas terlebih dahulu seperti makanan, pakaian dan membeli rumah sebagai tempat tinggal, sebelum membeli barangan kehendak yang lain. Kita juga sewajarnya menyimpan sebahagian wang yang diperolehi di dalam bank untuk digunakan sewaktu dalam kesusahan atau kecemasan.

          Air merupakan satu keperluan hidup dan kita juga perlu menjimatkan air dalam kehidupan seharian. Pembaziran air akan menyebabkan kita terpaksa membayar bil air yang tinggi dan akan menambahkan beban perbelanjaan kita. Bagi menjimatkan penggunaan air, kita boleh membasuh kereta atau menyiram pokok menggunakan air hujan. Selain itu, jika kita ternampak paip yang pecah, kita hendaklah segera melaporkan kejadian ini kepada pihak yang menguruskan bekalan air.

          Di samping itu, kita juga hendaklah berjimat cermat dalam penggunaan elektrik. Dengan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, kita akan membantu pihak kerajaan menjimatkan kos membekalkan elektrik. Oleh itu, kita hendaklah menutup suis lampu dan kipas jika ia tidak digunakan. Kita juga perlu menggunakan barangan elektrik yang kurang menggunakan tenaga elektrik seperti mentol lampu yang menjimatkan tenaga yang kini banyak dijual di pasaran.

          Kita juga mesti berjimat cermat dalam penggunaan telefon. Ketika bercakap di telefon, kita perlu bercakap perkara-perkara yang penting sahaja. Walaupun penggunaan telefon bimbit merupakan gaya hidup masa kini, namun kita mestilah sentiasa berjimat cermat menggunakannya. Justeru, ibu bapa wajar mengawasi anak-anak mereka dalam penggunaan telefon kerana bil telefon boleh meningkat sehingga ratusan ringgit sebulan jika anak-anak tidak berjimat cermat dan ia pastinya akan menyusahkan ibu bapa.

          Sebagai kesimpulan, kita perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian kerana amalan ini banyak faedahnya. Pada pendapat saya amaln berjimat cermat perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Pihak kerajaan juga perlu mengadakan kempen berjimat cermat di kalang rakyat. Kempen ini hendaklah diadakan sepanjang tahun supaya sikap berjimat cermat menjadi budaya hidup masyarakat Malaysia.

Click di sini untuk download : Download

5 comments: