Saturday 20 July 2013

Cara-Cara Menjaga Kebersihan Laut

          Isu-isu berkaitan dengan kebersihan laut kerap menjadi bahan perbincangan di kalangan nelayan. Ramai di kalangan nelayan berpendapat bahawa keadaan laut pada masa ini kian tercemar. Pada pendapat saya pencemaran laut tidak boleh dipandang ringan oleh pihak kerajaan. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan laut.

          Antara pihak yang boleh memainkan peranan dalam menjaga kebersihan laut ialah diri kita sendiri. Oleh itu, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Setiap individu tidak boleh membuang sampah di dalam laut kerana perbuatan tersebut akan menyebabkan laut menjadi kotor. Jika terdapat pihak lain yang mengotorkan air laut, kita hendaklah membuat aduan kepada pihak berkuasa.

          Selain itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam menjaga kebersihan laut. Contohnya, masyarakat tidak boleh menjadikan laut sebagai tempat untuk membuang sampah. Masyarakat juga mesti mengelakkan diri daripada membuang air kumbahan ke dalam laut. Sewajarnya, masyarakat mengadakan gotong-royong untuk membersihkan persekitaran laut agar laut berada dalam keadaan yang bersih dan cantik.

          Pengusaha syarikat perkapalan juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan laut. Hal ini kerana pengusaha syarikat perkapalan boleh menasihati anak kapal supaya tidak membuang sampah ke dalam laut. Syarikat perkapalan juga tidak wajar membuang minyak hitam ke dalam laut sewaktu pelayaran kerana ia boleh menyebabkan pencemaran laut. Pada masa yang sama, syarikat perkapalan tangki minyak mesti mengelakkan kemalangan agar minyak yang dibawa tidak tumpah ke dalam laut.

          Di samping itu, pengusaha industri juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan laut. Pengusaha industri tidak boleh membuang sisa toksik yang dikeluarkan oleh kilang ke dalam laut. Sisa toksik hendaklah dilupuskan di tempat yang dikhaskan oleh pihak berkuasa. Selain itu, pihak pengusaha industri juga hendaklah merawat dahulu air, sebelum dialirkan ke dalam laut bagi mengelakkan berlakunya pencemaran laut.

          Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan laut. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan bagi menjaga kebersihan laut. Oleh itu, pihak kerajaan boleh mengupah syarikat tertentu bagi membersihkan persekitaran laut terutama di kawasan-kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga boleh mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak yang didapati bersalah mencemarkan laut.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk manjaga kebersihan laut. Kebersihan laut memang patut dijaga kerana di dalamnya terkandung sumber makanan untuk manusia. Pada pendapat saya, pihak kerajaan harus menjaga kebersihan laut kerana laut dan persekitarannya merupakan aset negara dan kawasan pelancongan negara. Sesungguhnya, laut yang bersih akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang cantik dan menarik.

Click di sini untuk download : Download

1 comment: