Sunday, 21 July 2013

Amalan Berjimat Cermat

          Hal-hal yang berkaitan dengan amalan berjimat cermat sering dibincangkan dalam media massa seperti surat khabar dan televisyen. Amalan berjimat cermat memberi banyak kebaikan individu dan negara. Pada pendapar saya, sikap berjimat cermat ini wajar diamalkan oleh masyarakat pada setiap masa. Sikap berjimat cermat boleh diamalkan dalam kehidupan seharian dengan pelbagai cara.

          Setiap individu hendaklah menjimatkan penggunaan masa mereka. Masa yang dimiliki amat berharga seperti peribahasa Melayu 'Masa itu emas'. Oleh itu, kita perlu memenuhi masa kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku pelajaran, bekerja dan bersenam. Lazimnya, orang yang pandai menggunakan masa yang dimiliki akan berjaya dalam hidup dan dapat mencapai cita-cita yang diidamkan.

          Selain menjimatkan penggunaan masa, kita juga mesti berjimat dalam penggunaan wang. Wang yang kita perolehi perlu dibelanjakan dengan sebaik mungkin. Kita perlu membeli barang keperluan asas terlebih dahulu seperti makanan, pakaian dan membeli rumah sebagai tempat tinggal, sebelum membeli barangan kehendak yang lain. Kita juga sewajarnya menyimpan sebahagian wang yang diperolehi di dalam bank untuk digunakan sewaktu dalam kesusahan atau kecemasan.

          Air merupakan satu keperluan hidup dan kita juga perlu menjimatkan air dalam kehidupan seharian. Pembaziran air akan menyebabkan kita terpaksa membayar bil air yang tinggi dan akan menambahkan beban perbelanjaan kita. Bagi menjimatkan penggunaan air, kita boleh membasuh kereta atau menyiram pokok menggunakan air hujan. Selain itu, jika kita ternampak paip yang pecah, kita hendaklah segera melaporkan kejadian ini kepada pihak yang menguruskan bekalan air.

          Di samping itu, kita juga hendaklah berjimat cermat dalam penggunaan elektrik. Dengan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, kita akan membantu pihak kerajaan menjimatkan kos membekalkan elektrik. Oleh itu, kita hendaklah menutup suis lampu dan kipas jika ia tidak digunakan. Kita juga perlu menggunakan barangan elektrik yang kurang menggunakan tenaga elektrik seperti mentol lampu yang menjimatkan tenaga yang kini banyak dijual di pasaran.

          Kita juga mesti berjimat cermat dalam penggunaan telefon. Ketika bercakap di telefon, kita perlu bercakap perkara-perkara yang penting sahaja. Walaupun penggunaan telefon bimbit merupakan gaya hidup masa kini, namun kita mestilah sentiasa berjimat cermat menggunakannya. Justeru, ibu bapa wajar mengawasi anak-anak mereka dalam penggunaan telefon kerana bil telefon boleh meningkat sehingga ratusan ringgit sebulan jika anak-anak tidak berjimat cermat dan ia pastinya akan menyusahkan ibu bapa.

          Sebagai kesimpulan, kita perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian kerana amalan ini banyak faedahnya. Pada pendapat saya amaln berjimat cermat perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Pihak kerajaan juga perlu mengadakan kempen berjimat cermat di kalang rakyat. Kempen ini hendaklah diadakan sepanjang tahun supaya sikap berjimat cermat menjadi budaya hidup masyarakat Malaysia.

Click di sini untuk download : Download

Saturday, 20 July 2013

Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa

          Isu-isu yang berkaitan dengan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa kerap dibincangkan dalam majalah dan surat khabar. Hal ini kerana jasa ibu bapa terhadap anak-anak amat banyak dan anak-anak wajar membalas jasa ibu bapa. Pada pandangan saya, anak-anak tidak wajar melupakan jasa ibu bapa dengan menghantar ibu bapa ke rumah orang tua apabila mereka telah tua. Terdapat beberapa tanggungkawab yang perlu dilakukan oleh anak-anak untuk membalas jasa ibu bapa.

          Antara tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa ialah memberikan kasih sayang kepada ibu bapa. Anak-anak boleh menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa melalui pelakuan dan pemberian hadiah. Anak-anak boleh memberikan hadiah kepada ibu bapa semasa ulang tahun perkahwinan dan ulang tahun kelahiran mereka. Kasih sayang kepada ibu bapa juga boleh ditunjukkan melalui pelukan dan sentuhan tangan.

          Selain itu, anak-anak juga perlu memberikan wang kepada ibu bapa setelah mereka bekerja. Wang yang diberi kepada ibu bapa membolehkan ibu bapa menyara kehidupan mereka. Ibu bapa juga boleh menggunakan wang pemberian anak-anak itu untuk tabungan hari tua mereka Selain itu, anak-anak juga mesti memastikan tempat tinggal ibu bapa adalah selesa dan sempurna untuk mereka diami.

          Anak-anak juga mesti menjaga keselamatan ibu bapa pada setiap masa. Jika anak-anak tidak tinggal bersama dengan ibu bapa, pastikan keselamatan ibu bapa sentiasa terjamin dengan mencari pembantu rumah untuk menjaga mereka. Anak-anak juga wajar menasihati ibu bapa agar sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya. Jika perlu, ajaklah ibu bapa tinggal bersama-sama agar keselamatan dan keperluan mereka terjamin.

          Di samping itu, anak-anak juga perlu memastikan kesihatan ibu bapa dalam keadaan yang baik. Jika ibu bapa sakit, hantarlah mereka ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan. Anak-anak juga hendaklah menanggung segala kos rawatan ibu bapa. Selain itu, anak-anak boleh mengambil insurans kesihatan untuk ibu bapa kerana banyak faedahnya.

          Anak-anak yang bertanggungjawab akan menziarahi ibu bapa yang tinggal berjauhan daripada mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali. Mereka wajib pulang ke rumah ibu bapa semasa menyambut hari perayaan agama seperti hari raya untuk bersama-sama ibu bapa menyambut hari penting tersebut. Selain itu, anak-anak juga boleh membawa ibu bapa menziarahi ahli keluarga yang lain. Jika ada peruntukan kewangan yang lebih, bawalah ibu bapa pergi melancong ke tempat-tempat yang menarik sama ada di dalam atau di luar negara.

          Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa. Tanggungjawab anak-anak ini wajar dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Pada pendapat saya, anak-anak mesti mengelakkan diri daripada melukakan hati ibu bapa terutama apabila mereka telah tua. Jika anak-anak dapat menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapa dengan baik, pasti kehidupan anak-anak juga akan bertambah baik dan bahagia.

Click di sini untuk download : Download